Sunday, December 14, 2008

Pendidikan seawal 70an suku kaum Kimaragang

Pendidikan seawal 70an suku kaum Kimaragang
Pendidikan bagi suku kaum Kimaragang telah bermula seawal tahun 60an semasa era penjajahan. Seperti daerah-daerah lain di Sabah, daerah Kota Marudu tidak tercicir dalam mendapat pendidikan. Pendidikan awal suku kaum kimaragang di daerah Kota Marudu terutama sekali kawasan tandek merupakan suatu mimpi ngeri di kalangan pelajar pada masa itu. Guru-guru dikatakan amat garang dan sangat ditakuti. Bayangkan saja rotan tidak pernah berpisah dari tangan guru. Ini menunjukkan bahawa guru itu sentiasa bersedia untuk merotan pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan. Guru-guru sangat tegas dalam menegakkan disiplin di sekolah. Mengikut satu cerita dari seorang bekas pelajar di SK Masolog, dia pernah dirotan di bahagian tangan sehingga gelangnya pecah terkena rotan. Sedangkan gelang yang keras boleh jadi pecah, apalagi kulit pelajar itu yang lembut dan halus, dah tentu luka. Ini bukan cerita dongeng yang sengaja direka-reka. Saya sendiri pernah melaluinya semasa bersekolah di SK Masolog. Pada masa itu pelajar yang tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru akan didenda dengan berdiri. Kalau tak dapat jawab lagi, denda akan ditambah dengan mengarahkan pelajar berdiri di atas kerusi dan seterusnya di atas meja. Kalau pelajar itu masih tidak dapat menjawab soalan, akhirnya pelajar itu akan dirotan dan sasaran utama ialah bahagian punggung pelajar. Sebahagian pelajar yang bodoh meletakkan buku di bahagian punggung mereka untuk mengurangkan rasa sakit apabila dirotan. Ini adalah sebahagian kecil masalah yang dihadapi oleh pelajar di sekolah. Ada banyak masalah lain lagi yang dihadapi oleh pelajar ketika bersekolah dimasa itu. Sebagai contohnya pelajar yang tinggal jauh dari sekolah. Mereka terpaksa meredah kawasan sawah padi yang becak dan berlumpur untuk sampai ke sekolah tepat pada waktunya. Saya sendiri tinggal jauh dari sekolah. Untuk sampai ke sekolah, saya terpaksa melalui sebatang sungai yang tak berjambatan. Untuk melalui sungai itu, saya menggunakan tiga batang buluh yang dipasang oleh bapa saya sebagai titi. Ada juga beberapa kali saya terjatuh kedalam sungai ketika melaluinya. Selepas melalui titi tersebut, saya melalui kawasan sawah padi yang berembun dan berlumpur. Titisan embun yang ada pada daun-daun padi menyebabkan pakaian saya basah. Ditambah pula dengan lumpur dan air, sehingga saya tidak boleh memakai kasut ataupun selipar. Inilah yang saya hadapi selama enam tahun bersekolah di sekolah rendah. Pernah satu ketika saya tidak sempat sarapan pagi. Bila masa balik, saya terasa sangat lapar dan dahaga. Saya tidak larat hendak jalan lagi dan akhirnya kakak sepupu saya mendukung saya balik rumah. Masa itu air sungai dan telaga sedap semuanya. Saya menjadikan itu semua sebagai pendorong untuk berjaya.

No comments: