Thursday, September 11, 2008

Tekanan Darah Tinggi

Tekanan darah tinggi adalah satu keadaan di mana darah sukar dihantar ke seluruh badan. Kesukaran pergerakan darah melalui saluran darah ini adalah disebabkan oleh laluannya itu telah menjadi sempit. Saluran darah menjadi sempit apabila kolesterol dari lemak-lemah haiwan yang terdapat dalam daging yang dimakan terenap sedikit-demi sedikit. Fenomena ini boleh dibayangkan dalam paip air di rumah. Saluran paip yang besar membenarkan air mengalir dengan mudah dan cepat. Tapi saluran paip yang kecil memperlambatkan pergerakan air. Pergerakan air menjadi semakin lambat lagi sekiranya paip air itu mengumpul enapan lumpur.
Jantung berfungsi sebagai pam darah. Darah dipam ke seluruh badan oleh jantung. Sekiranya saluran darah sempit (ada enapan kolesterol) fungsi jantung sebagai pam terganggu. Bayangkan pam air yang sedang mengepam, tiba-tiba saluran paip tersumbat. Apa akan jadi pada pam air? sudah tentunya akan rosak. Begitu juga dengan jantung. Jantung akan menjadi sakit sekiranya ia dipaksa untuk mengepam darah ke seluruh badan. Jantung dipaksa mengepam darah apabila saluran darah menjadi sempit kerana dipenuhi kolesterol.
Pesakit jantung sangat sensitif terhadap kejutan. Satu kejutan boleh menyebabkan kematian. Pesakit jantung yang terkejut menyebabkan jantungnya berdegup dengan lebih kencang lagi. Dalam keadaan saluran darah sempit, jantung dipaksa mengepam darah pada kadar yang lebih laju daripada biasa. Ini menyebabkan berlakunya kepecahan kapilari darah. Ini sangat bahaya sekiranya kapilari darah yang pecah itu berada dalam otak. Selain daripada itu, kesan lain ialah jantung terasa sakit kerana terpaksa mengepam.
Sakit jantung boleh disebabkan oleh penggunaan garam yang berlebihan. Garam yang berlebihan menyebabkan bendalir dalam darah lebih pekat dari biasa. Dalam keadaan pekat, lebih banyak air yang diserap kerana wujudnya cerun kepekatan. Pengambilan air yang lebih banyak menyebabkan saluran darah menjadi sempit. Fenomena ini juga dikenali sebagai darah tinggi. Penyebab lain yang tidak berapa diketahui ramai ialah tidur lewat.

Penyakit Kencing Manis


Pendahuluan
Penyakit kencing manis telah diketahui semenjak tamadun purba lagi dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, Hindu, Cina, dan Yunani (Greek). Tanda-tanda penyakit kencing manis, seperti dahaga yang melampau dan kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir di atas paprus pada 1550 BC. Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap kencing manis kepada dua semenjak abad ke lima lagi.
Nama lain kencing manis, diabetes yang bererti pancur air, dinamakan oleh pakar perubatan Yunani (Greek), Areteus dari Cappadocia semenjak 2,000 tahun dahulu. Perkataan mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi menunjukkan terdapat gula dalam air kencing. Salah satu daripada ujian bagi mengesan pengidap kencing manis yang terawal adalah mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat samada semut menghurungi tempat tersebut. Pada tahun 1897, dua orang pakar sains, Minkowski dan Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan kencing manis dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing tersebut mengidap kencing manis.
Walaupun penyakit kencing manis telah lama diketahui, kawalan penyakit kencing manis yang berkesan hanya diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glokos dalam darah.
Apakah Insulin
Insulin merupakan sejenis hormon yang dihasilkan oleh sel kelenjar pankreas yang dikenali sebagai Langerhans islets (kepulauan kecil). Insulin bertugas untuk menceranakan glukos dan bertindak membenarkan glukos dalam darah menembusi dinding sel.
Apa itu kencing manis (Diabetes mellitus)
Kencing manis atau diabetes mellitus merupakan keadaan di mana terdapat glukos di dalam air kencing seseorang. Ini disebabkan glukos (gula) dalam darah tidak dapat diceranakan oleh badan disebabkan oleh sama ada kekurangan penghasilan insulin, kurang keberkesanan isulin, atau kedua-duanya sekali. Glukos yang berlebihan itu akan dikeluarkan bersama air kencing. Kencing manis boleh menyebabkan masalah lain dan kematian, bagaimanapun pengidap kencing manis boleh mengambil langkah-langkah untuk mengawal atau mengurangkan risiko masalah sampingan.
Malaysia telah dikelaskan sebagai sebagai negara keempat tertinggi di Asia yang mempunyai penghidap kencing manis. Berdasarkan perangkaan Institut Diabetes Antarabangsa, pesakit kencing manis di Malaysia juga dijangka meningkat daripada 800,000 orang pada tahun lepas kepada 1.3 juta orang menjelang tahun 2010. Memandangkan jumlah pengidap kencing manis sentiasa bertambah saban tahun, amatlah perlu bagi rakyat Malaysia untuk mengubah tabiat permakanan agar kencing manis dapat dibendung. Ini termasuk diri anda sendiri.
Jenis-jenis kencing manis (Diabetes mellitus)
Kencing manis boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu :-
Diabetes bersandar insulin - jenis pertama (Type 1 diabetes)
Diabetes jenis pertama (Type 1 diabetes) juga dikenali sebagai diabetes bersandar insulin (IDDM - 'Insulin Dependent' ) atau diabetes awal remaja. Pengidap diabetes bersandar insulin boleh hidup seperti normal selagi mereka menerima suntikan insulin, tetapi mereka akan menerima maut sekiranya mereka tidak mendapat suntikan insulin dalam tempoh yang agak singkat. Ini adalah disebabkan penguraian bahan tenaga lain oleh badan seperti lemak, yang menghasilkan bahan sampingan seperti ketones yang menyebabkan keadaan hiperglisemia (hyperglycemia). Ketones merupakan molekul asid yang mampu menyebabkan kegagalan metabolisma dan sel badan gagal berfungsi. Keadaan ini sekiranya berlarutan akan mengakibatkan pengidap kencing manis menjadi koma dan menemui maut sekiranya tidak dirawat.
Diabetes jenis pertama ini terbentuk apabila sistem imunisasi badan memusnahkan sel beta kelenjar pankreas, satu-satunya jenis sel yang menghasilkan hormon insulin yang digunakan untuk penghadaman glukos kepada tenaga. Diabetes ini sering didapati pada golongan kanak-kanak dan remaja yang memerlukan beberapa suntikan insulin setiap hari, atau menggunakan pam insulin, untuk terus hidup. 5% hingga 10% pengidap diabetes merupakan dari jenis kencing manis jenis I. Mereka yang berisiko mengidap kencing manis jenis I adalah serangan sistem imunisasi sendiri (autoimmune), genetik, dan alam sekeliling.
Diabetes bersandar insulin lebih kerap dikesan di masyarakat Barat. Ini mungkin disebabkan oleh genetik, kesedaran yang lebih luas dikalangan masyarakat barat, atau kurang kesedaran dikalangan masyarakat Asia mengenai penyakit diabetes dikalangan kanak-kanak. Lambat mendapatkan rawatan bagi diabetes bersandar insulin boleh membawa maut, oleh itu sekiranya diabetes bersandar insulin tidak dikesan dengan lebih awal, pengidap diabetes tidak berpeluang untuk dirawat. Bagaimanapun peningkatan kes diabetes dikalangan masyarakat Asia mungkin sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan kesedaran mengenai penyakit diabetes dikalangan umum. Ini menyebabkan lebih ramai orang sempat mendapatkan rawatan di hospital.
Pengidap diabetes bersandar insulin perlu disuntik sebelum makan dan kadang-kala insulin tambahan perlu disuntik pada waktu malam sebelum tidur. Ibu bapa hendaklah menyimpan rekod bacaan paras gula anak mereka untuk perhatian dan tindakan susulan daripada doktor dan pakar pemakanan. Paras gula yang direkodkan itu amat penting untuk membolehkan doktor mengubah suai pemakanan kanak-kanak terbabit dan mengubah dos insulin. Ini disebabkan kekurangan dan lebihan paras gula dalam darah boleh meninggalkan kesan buruk dan pelbagai gejala kepada pesakit diabetes.
Bagaimanapun sekiranya terlalu banyak insulin diambil atau disuntik, keadaan sebalinnya mungkin berlaku. Keadaan ini yang dikenali sebagai hipoglisemia disebabkan kekurangan glukos dalam darah dan boleh diatasi dengan mudah dengan pengambilan makanan atau minuman yang bergula.
Diabetes bebas insulin - jenis kedua. (Type II diabetes)
Diabetes bebas insulin (jenis kedua) juga dikenali sebagai diabetes peringkat permulaan dewasa. 90% hingga 95% daripada pengidap kencing manis mengidap diabetes bebas insulin (jenis kedua). Diabetes bebas insulin (jenis kedua) biasanya bermula dengan ketahanan insulin, dimana badan tidak menggunakan insulin dengan berkesan. Apabila keperluan menggunakan insulin meningkat, kelenjar pankreas tidak lagi mampu mengeluarkan insulin pada kadar mencukupi. Diabetes bebas insulin (jenis kedua) biasanya berlaku seiring dengan faktor usia lanjut, gemuk (obesity), keturunan, terencat ketahanan glukos, kurang bersenam, dan bangsa (genetik). Diabetes bebas insulin (jenis kedua) juga semakin meningkat dikalangan kanak-kanak dan golongan remaja.
Diabetes ketika Hamil (Gestational diabetes)
Diabetes ketika hamil merupakan sejenis alahan glukos yang dikenal pasti pada sebahagian wanita ketika mengandung. Diabetes ketika hamil sering didapati di kalangan orang Amerika keturunan Afrika, Hispanik/Latin, dan Red Indian. Diabetes ketika hamil juga biasa didapati dikalangan wanita kuat makan, atau wanita yang dari keturunan pengidap diabetes. Ketika mengandung, diabetes ketika hamil memerlukan rawatan untuk menurunkan paras gula dalam darah agar tidak memberi kesan kepada kandungan. Selepas mengandung, kebanyakan wanita 90% hingga 95% didapati pulih kembali. Sebahagian kecil pula antara 5% hingga 10% didapati mengidap diabetes bebas insulin (jenis kedua). Wanita yang mengalami diabetes ketika hamil mempunyai risiko 20% hingga 50% untuk mengidap diabetes dalam tempoh 5 hingga 10 tahun.
Diabetes bentuk lain
Terdapat diabetes yang disebabkan oleh faktor genetik (peringkat permulaan dewasa), pembedahan, dadah, kurang zat permakanan, jangkitan, dan penyakit lain. Diebetes bentuk lain membentuk 1% hingga 5% daripada semua penyakit kencing manis yang dikenal pasti.
Apakah tanda-tandanya?
Tanda-tanda kencing manis adalah seperti berikut :-
Sering dahaga dan sering perlu minum air.
Sering ketandas.
Terasa badan lemah.
Berat badan turun dengan cepat.
Penglihatan semakin kabur.
Terasa pening kepala. Kadang-kala pengidap kencing manis tidak menunjukkan sebarang tanda. Hanya dengan pemeriksaan doktor dapat menunjukkan dan mengesan kencing manis pada peringkat awal. Bagi mereka yang berisiko tinggi, mereka perlu menjalani pemeriksaan untuk mengesan kencing manis sekali setiap tahun.
Masalah sekiranya Kencing Manis tidak dikawal.
Sekiranya penyakit kencing manis tidak dikawal dalam tempoh yang berlanjutan pengidap kencing manis akan sentiasa mempunyai kadar gula yang tinggi didalam darahnya. Kadar gula tinggi yang berterusan akan mendatangkan banyak perubahan pada bahagian saluran darah dan juga urat (nerve). Perubahan-perubahan ini pula boleh mendatangkan penyakit lain seperti:-
Hujung kaki tangan menjadi sebal, hilang deria sentuh, disebabkan oleh kerosakan urat/nerve.
Gatal-gatal badan yang disebabkan kerosakan urat/nerve.
Kurang daya syahwat bagi kaum lelaki yang disebabkan kerosakan urat/nerve dan saluran darah.
Sering kencing malam disebabkan buah pinggang gagal mengitar air seperti biasa. Ini mengakibatkan pundi kencing penuh dengan lebih cepat.
Kegagalan fungsi buah pinggang. Ini disebabkan oleh kerosakan saluran darah dan ginjal disebabkan kandungan gula yang tinggi terlalu lama.
Sakit jantung disebabkan kerosakan saluran darah.
Serangan angin akhmar disebabkan kerosakan saluran darah.
Buta disebabkan kerosakan mata. Kanta mata menjadi kurang kenyal disebabkan kandungan gula yang tinggi. Bagaimanapun sekiranya pengidap kencing manis mengambil langkah yang sewajarnya, kadar gula dalam darah boleh dikawal dan pengidap kencing manis dapat hidup seperti orang lain. Makanan yang seimbang perlu dikawal seumur hidup disebabkan penyakit kencing manis masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya.
Golongan berisiko tinggi.
Mereka yang dikelaskan dalam kumpulan risiko lebih tinggi adalah :- Mereka yang mempunyai keturunan yang mengidap Kencing Manis (Ibu bapa, adik-beradik) Mereka yang berat badan agak tinggi Mereka yang pernah mempunyai radang pada Pancreas Wanita mengandung yang pernah menghadapi kencing manis ketika hamil.
Bagaimanapun penyakit kencing manis mampu menyerang sesiapa juga pada semua peringkat umur sekiranya permakanan dan minuman tidak dijaga.
Mengesan kencing manis
Kencing Manis dapat dikesan dengan ujian air kencing atau ujian darah. Ujian darah amat mudah digunakan dan dapat mengukur kadar gula dalam darah dengan tempoh beberapa minit sahaja. Selain itu terdapat ujian daya tahan glukos dimana pesakit akan disuruh meminum minuman bergula dan mereka diuji untuk memastikan peningkatan kadar glukos. Selain itu ujian puasa glukos di mana mereka yang diuji akan dilarang makan atau minum semalaman sebelum mereka diuji untuk menentukan kadar glukos mereka.
Masalah pengidap Kencing Manis
Pengidap kencing manis yang bergantung kepada suntikan insulin berhadapan dengan beberapa masalah untuk mengawal kadar gula dalam darah, antaranya adalah :-
Kekurangan paras gula di dalam darah atau hipoglisemia. Ini mungkin disebabkan terlebih mengambil insulin
Lebihan paras gula di dalam darah atau hiperglisemia. Ini mungkin disebabkan oleh tidak mengambil insulin.
Tanda-tanda kekurangan paras gula di dalam darah atau hipoglisemia ialah:
Cemas.
Berdebar-debar.
Berpeluh.
Menggeletar.
Terasa lapar.
Terkeliru.
Penglihatan kabur.
Pening lalat.
Tidak sedarkan diri.
Tanda-tanda lebihan paras gula di dalam darah atau hiperglisemia ialah:
Sering membuang air kecil, terutama pada sebelah malam.
Kerap terasa haus.
Muntah-muntah.
Badan semakin kurus.
Koma.
Sukar bernafas.
Sakit perut.
Penyakit diabetes dikalangan kanak-kanak kadang-kala sembuh secara spontan untuk sementara waktu. Keadaan ini dikenali sebagai tempoh berbulan madu "honeymoon period". Secara lazimnya, ia bertahan hanya untuk tempoh di antara enam bulan hingga beberapa tahun. Sekiranya anda atau anak anda berhadapan dengan keadaan ini, anda masih perlu menjaga pemakanan anda sebaik-baiknya kerana penyakit kencing manis boleh berulang. Secara lazimnya penyakit kencing manis tidak ada ubat dan pengidap kencing manis perlu menjaga pengambilan gula serta mengambil ubat sepanjang hayat. Hanya dalam kes pembedahan bagi menggantikan atau menanam sel kelenjar pankreas maka badan kembali mampu untuk menghasilkan insulin secukupnya.
Masalah yang sering dihadapi ibu bapa
Apabila anak semakin dewasa dan mencapai usia akil baligh, mereka akan berdepan dengan krisis pemakanan. Lazimnya, keadaan ini berlaku disebabkan pengaruh kawan-kawan. Dalam menangani keadaan ini, ibu bapa perlu bijak untuk memahami keadaan anak mereka. Sebaik-baiknya dapatkan pandangan dan nasihat daripada pakar psikologi jika perlu.
Dalam tempoh ini juga, ibu bapa perlu mengambil berat dan mengawasi diet anak mereka itu untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti individu normal.
Datuk atau nenek juga kadangkala menimbulkan masalah kepada ibu bapa. Ini kerana, golongan itu akan memberi apa saja yang dikehendaki anak berpenyakit diabetes atas alasan kasihan.
Justeru, ibu bapa hendaklah tegas dalam corak pemakanan anak mereka dan mengetepikan perasaan kasihan kepada mereka untuk memastikan paras gula di dalam tubuh tidak terus meningkat, sekali gus memendekkan tempoh masa kanak-kanak itu menjadi mangsa serangan penyakit jantung, tekanan darah tinggi strok, rosak penglihatan dan buah pinggang.
Perubatan
Perubatan pula terbahagi kepada beberapa jenis iaitu:
Melakukan senanam dan menjaga makan minum. (lihat permakanan.)
Ubat berbentuk pil yang dimakan.
Suntikan.
Pembedahan. (Pada masa akan datang)
1. Penjagaan permakanan
Dianggarkan di Amerika bahawa 17% pesakit kencing manis hanya perlu menjaga makan minum mereka, 49% pesakit kencing manis mengambil pil, 22% mengambil insulin sahaja dan 11% mengambil insulin dan pil. (Sumber : 1997-1999 National Health Interview Survey)
2. Ubat berbentuk pil
Ubat berbentuk pil adalah perubatan yang paling mudah dan murah. sering digunakan dan sering menjadi pilihan pertama para doktor. Ada berbagai pil untuk merawat kencing manis pada masa ini dan cara memakannya berbeza bagi setiap pesakit dan setiap pil-pil tersebut. Oleh kerana itu, cara pemakanan pil-pil ini, kesannya dan sebagainya tidak dapat dibincang disini. Bagaimanapun untuk semua ubat pil, perlu dimakan pada waktu dan dengan sukatan yang ditetapkan. Kegagalan mengikut arahan doktor bukan sahaja boleh memburukkan keadaan malah boleh membawa maut.
Pengambilan ubat juga perlu disertai dengan pengawalan pengambilan makanan dan minuman, melakukan senaman, dan mengurangkan berat badan agar lebih berkesan. Langkah-langkan ini juga mengelakkan keadaan di mana ubat yang diambil menjadi kurang berkesan dan pesakit perlu beralih pada suntikan insulin.
3. Suntikan
Terdapat dua jenis suntikan diabetis iaitu :-
Yang pertama adalah golongan pesakit yang dikenali sebagai IDDM (insulin dependant diabetes mellitus) dimana kadar gula seseorang itu hanya dapat diturunkan dengan suntikan insulin sahaja. Pengidap kencing manis jenis ini memerlukan suntikan insulin untuk terus hidup.
Yang kedua adalah bagi pesakit kencing manis yang kadar gulanya masih tidak dapat dikawal dengan sempurna walaupun dengan penjagaan pemakanan dan ubat pil yang dimakan dengan maksima.
Seperti ubat pil yang dimakan, berbagai jenis ubat suntikan kencing manis boleh didapati pada masa ini. Cara suntikkan juga canggih dan mudah digunakan. Seringkali masyarakat kita merasakan berat untuk memulakan ubat dengan cara suntikan tetapi kita seharusnya pulang kembali tentang fahaman kita tentang penyakit kencing manis ini iaitu kawal kadar gula dalam darah supaya tidak timbul penyakit-penyakit lain!
4. Pembedahan
Pembedahan masih diperingkat penyelidikan. Bagaimanapun pemindahan sel kelenjar pankreas telah berjaya dijalankan pada haiwan dan pada masa hadapan pembedahan pada manusia mungkin membolehkan badan kembali mampu untuk menghasilkan insulin secukupnya.
Mengelak Kencing Manis
Perubahan cara hidup
Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis terutama pada mereka yang mempunyai kecacatan daya tahan glukos (Impaired glucose tolerance - IGT), atau kecacatan puasa glukos (impaired fasting glucose - IFG). Kajian menunjukkan kedua-dua keadaaan merupakan tanda awal kencing manis tetapi mampu diundurkan dengan kawalan permakanan yang betul. Selain itu, tidak salah bagi mereka yang tidak mempunyai masalah awal untuk turut serta mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kencing manis dengan melakukan beberapa perkara iaitu: -
Pemakanan
Ramai berpendapat bahawa pemakanan hanya merangkumi pemakanan gula sahaja. Tetapi walaupun pemakanan gula seharusnya disekat, ini tidak bermakna makanan-makanan lain kesemuanya dapat dimakan seberapa banyaknya. Pemakanan seharusnya dikurangkan kerana selain daripada gula, bahan-bahan karbohidrat yang lain juga seharusnya dikurangkan. Ini adalah kerana kadar Kalori pada sesehari itu seharusnya dikurangkan. Untuk kepastian bahawa pemakanan yang dimakan tidak melebihi batas. Catatkan apa yang sering dimakan dalam sehari dan bincangkan dengan doktor.
Senaman
Senaman juga penting tetapi ianya perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor. Senaman berfungsi dengan tiga cara iaitu membantu menggunakan kalori yang lebih yang mungkin dimakan, membantu mengurangkan berat badan dan akhir sekali dapat juga menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru (cardiorespiratory) kita. Satu kajian mengenai kencing manis dalam tempoh 3 hingga 6 tahun mendapati senaman seperti berjalan selama 2 1/2 jam dalam tempoh seminggu boleh mengurangkan perkembangan diabetis sebanyak 40% - 60%.
Penjagaan berat badan
Telah dikenali yang mereka yang berat badan tidak tinggi lebih mudah dikawal taraf gula didalam darah mereka dan dengan itu ubat dapat dikurangkan. Setengah-setengah dari pesakit kencing manis dapat menghentikan ubat kesemua sekali setelah berat badan dapat dikawal.
Pemeriksaan diri sendiri
Seseorang itu seharusnya berwaspada tentang apa-apa perubahan pada badan mereka iaitu dari segi kulit (lagi-lagi pada bahagian kaki), rasa sebal/kebas pada hujung jari tangan atau kaki dan apa-apa perubahan lain yang dirasakan. Selain dari itu, pemeriksaan oleh doktor untuk memastikan kadar gula dalam darah mesti terus dijalankan.
Pemeriksaan oleh doktor secara tahunan
Ujian berkala secara tetap terutama mereka yang berisiko tinggi mampu mengesan kencing manis pada peringkat awal. Ini membolehkan pengidap kencing manis mengambil langkah awal untuk merawat diri mereka. Dianggarkan bagi setiap 1% pengurangan kadar ujian darah A1C, mampu mengurangkan masalah berkait kencing manis sebanyak 40%. Selain itu rawatan awal kencing manis juga mampu mengurangkan 30% hingga 70% kegagalan buah pinggang berfungsi. Penjagaan anggota kaki tangan mampu mengurangkan kes anggota badan perlu dipotong disebabkan komplikasi jangkitan sebanyak 45% - 85%.
Pengambilan Ubat
Pengambilan ubat untuk mengelakkan kencing manis masih diperingkat kajian di Amerika Syarikat. Ubat seperti metformin didapati mengurangkan peratusan mengidap kencing manis sebanyak 31%. Rawatan menggunakan metformin lebih berkesan bagi mereka yang berusia muda, dan gemuk. Rawatan metformin kurang berkesan pada mereka yang normal untuk mengelakkan kencing manis.
Keadaan IGT dan IFG
Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis terutama pada mereka yang mempunyai kecacatan daya tahan glukos (Impaired glucose tolerance - IGT), atau kecacatan puasa glukos (impaired fasting glucose - IFG). Kajian menunjukkan bahawa dianggarkkan di Amerika bagi mereka yang berumur 40 - 74 tahun, terdapat 15.6% yang mengidap kecacatan daya tahan glukos sementara 9.7% pula mempunyai masalah kecacatan puasa glukos yang dianggap mempunyai risiko besar untuk meningkat kepada pengidap kencing manis.
- Kecacatan daya tahan glukos merujuk kepada keadaan di mana kadar glukos meningkat antara 140 sehingga 199 milligrams per dekaliter atau mg/dL selepas 2-jam ujian oral ketahanan glukos tetapi masih belum dianggap sebagai kencing manis.
- Kecacatan puasa glukos (impaired fasting glucose - IFG) merujuk kepada keadaan di mana kadar glukos meningkat antara 110 sehingga 125 milligrams per dekaliter atau mg/dL selepas semalaman berpuasa tetapi masih belum dianggap sebagai kencing manis.
Akhir Kata
Adalah amat penting bagi kita mengawal pengambilan gula. Pengambilan gula berlebihan secara langsung atau tidak langsung (dalam kuih yang manis) boleh menyebabkan kencing manis yang membawa kepada penyakit-penyakit yang lain. Selain itu sekiranya pesakit berterusan memakan makanan manis walaupun memakan ubat, ini boleh mengakibatkan badan pesakit semakin teruk dan kencing manis tidak lagi dapat dikawal dengan pengambilan ubat. Pesakit terpaksa beralih kepada suntikan insulin pula. Sekiranya pengambilan gula terus tidak dikawal, ia akan membawa kepada penyakit lain seperti sakit jantung, buta disebabkan kerosakan pada mata disebabkan oleh kandungan gula yang tinggi, jangkitan kuman, kehilangan anggota kaki atau tangan, kegagalan buah pinggang berfungsi, dan lain-lain. Oleh itu ingatlah, berjaga-jaga lebih baik dari memakan ubat.

Kencing Manis

PENAFIAN: Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan anda.
Bahan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan kepada anda. Sekiranya anda menyedari simptom kesihatan atau jatuh sakit, anda perlu menghubungi doktor bagi rawatan lanjut.
Kencing manisDiabetes mellitus

Penyakit kencing manis ataupun diabetes mellitus merupakan sejenis penyakit yang dapat dicirikan dengan keadaan hyperglyceamia (ketinggian kandungan glukosa dalam darah), terutamanya selepas pengambilan makanan, pada penghidapnya. Secara umumnya, penyakit kencing manis dapat digolongkan sebagai:
Diabetes jenis pertama juga dikenali sebagai diabetes bersandar insulin (IDDM - 'Insulin Dependent Diabetes Mellitus') atau diabetes awal remaja. Diabetes jenis pertama dicirikan dengan kegagalan penghasilan insulin oleh kelenjar pankreas. Biasanya, penghidap diabetes jenis pertama mula mendapat simtom penyakit semasa kanak-kanak atau remaja. Disebabkan oleh kegagalan penghasilan insulin oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin untuk pengawalan tahap glukosa darah.
Diabetes jenis kedua boleh disebabkan oleh kerintangan tisu badan terhadap insulin dan penghasilan insulin yang berkurangan. Diebetes jenis kedua boleh dikawal secara pemantauan pangambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam, dan pengambilan ubat secara makan ( suntikan insulin diperlukan sekiranya pengambilan ubat secara makan kurang berkesan atau memberi kesa sampingan kepada pesakit).
Sejarah
Penyakit kencing manis telah diketahui semenjak tamadun purba lagi dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, India, Cina, dan Yunani (Greek). Tanda-tanda penyakit kencing manis, seperti dahaga yang melampau dan kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir di atas paprus pada 1550 BC. Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap kencing manis kepada dua jenis berlainan semenjak abad ke lima lagi.
Nama lain kencing manis, diabetes yang bererti pancur air, dinamakan oleh pakar perubatan Yunani (Greek), Areteus dari Cappadocia semenjak 2,000 tahun dahulu. Perkataan mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi menunjukkan terdapat gula dalam air kencing. Diabetis Mellitus atau secara amnya dikenali sebagai kencing manis, merupakan satu penyakit kronik (tidak boleh pulih sepenuhnya) dan hampir 8-9% masyarakat dewasa di Malaysia mengidap penyakit ini.
Salah satu daripada ujian bagi mengesan pengidap kencing manis yang terawal adalah mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat samada semut menghurungi tempat tersebut. Bukti kaitan kelenjar pankreas dengan punca penyakit kencing manis dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar sains, Minkowski dan Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan kencing manis dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing tersebut mengidap kencing manis.
Walaupun penyakit kencing manis telah lama diketahui, kawalan penyakit kencing manis yang berkesan hanya diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glukos dalam darah.
Pengawalan Diabetes
Diabetes adalah penyakit kronik yang akan kekal seumur hidup. Setakat ini belum ada ubat yang dapat menyembuh penyakit diabetes tetapi penyakit ini boleh dikawal dengan cara beri11kut:
1. Penjagaan pemakanan dan berat badan
2. Kerap bersenam
3. Pengubatan
Pemakanan pesakit Diabetes seharusnya kurang lemak dan kalori serta seimbang.
Pesakit diabetes boleh menjalani kehidupan yang normal dengan syarat pesakit itu dikawal dengan betul. Lebih kurang 40% pesakit diabetes mampu mengawal keadaan penyakit mereka dengan menjaga pemakanan dan bersenam. Manakala selebihnya adalah dengan mengambil sama ada ubat (pil) atau suntikan insulin di samping pemakanan yang sihat dan bersenam. Walau apa pun ubat yang diambil, perkara-perkara berikut perlu diketahui dan dipatuhi :
Bila hendak mengambil/makan ubat dan berapa banyak ubat yang perlu diambil
Jenis rawatan yang diterima
Dimana hendak mendapat ubat

Rakan-rakanku

Saya berkerja sebagai seorang guru di sebuah sekolah di daerah Kota Marudu. Dilantik pada tahun 1999, kini tinggal setahun lagi akan dapat DG44. Berkerja di sekolah yang saya ditempatkan ini memang menyeronokkan, apatah lagi kini saya dilantik menjadi pengemudi sebuah jabatan yang dipanggil Jabatan Sains dan Matematik. Bertugas sebagai seorang Ketua Bidang Sains dan Matematik bukanlah mudah. Dengan hanya mendapat sedikit elaun tanggungjawab, adalah sangat tidak memadai untuk memikul bebanan yang saya bebani sekarang ini. Tugas-tugas yang sepatutnya saya laksanakan telah saya buat. Tapi malangnya Tidak semua yang dirancangkan dapat dicapai. Rakan-rakan yang bersama-sama dengan saya di jabatan ini semuanya saya hormati. Mungkin keranan sifat saya yang tidak suka meninggikan diri (puji diri), rakan-rakan saya merasa selesa bersama saya. Saya tidak menganggap mereka berada di bawah jagaan saya, kerana kami semuanya sama taraf. Saya tidak suka mengarah, kerana saya bukannya pengarah. Saya begitu berterima kasih kepada mereka kerana mereka melaksanakan tugas saya. Laksanakanlah tugas anda sebagai sekumpulan SAINTIS..

Saya pelajar atau .....

Kalau Dr. Mahathir kata Melayu Mudah Lupa, saya pula akan kata Pelajar Mudah Lupa. Apa yang saya hendak katakan di sini bukanlah pelajar mudah lupa akan fakta-fakta PnP, tapi tugas mereka sebagai pelajar. Pelajar datang ke sekolah untuk belajar. Belajar untuk mengetahui dan menguasai sesuatu kemahiran atau pengetahuan yang diajar oleh guru. Apabila mereka sudah mengetahui dan menguasai sesuatu ilmu, nilai diri akan bertambah. Asasnya tidak ada bezanya seorang pelajar yang pintar dan yang lembab dari segi fizikal. Malahan ada pelajar yang lembab lebih kuat fizikalnya. Tapi mengapa pelajar pintar juga yang sentiasa diutamakan? Ini adalah kerana mereka mempunyai nilai diri yang tinggi. Nilai diri tidak boleh disamakan dengan harga diri. Nilai diri sangat diutamakan dalam masyarakat. Ini adalah kerana individu-individu yang bernilai sahaja yang biasanya mampu menyumbang kepada masyarakat. Boleh berfikir dengan waras, sesuai dengan kemahuan 0rang ramai dan bukannya pendapat sendiri yang tidak bernilai. Sebenarnya semua mata pelajaran yang dipelajari di sekolah tidak digunakan apabila berkerja. Tapi kenapa belajar mata pelajaran yang susah-susah? Proses pembelajaran di sekolah melatih pelajar untuk meningkatkan kematangan.
Kebanyakan pelajar lupa tugas mereka. Mereka suka enjoy di sekolah. Mereka suka ada teman istemewa. Banyak menghabiskan masa dengan bermain sms. Jadual waktu yang dikhususkan untuk belajar juga digunakan untuk melayan teman istimewa melalui sms. Duit yang diderma oleh ibubapa atau pelajar itu minta sendiri habis digunakan untuk membeli reloade. Apa yang mereka dapat? rugi lah yang mereka dapat. Kemungkinan perhubungan melaluinya berjaya merapatkan perhubungan mereka. Tapi biasanya perhubungan ini betujuan untuk kepentingan diri sendiri terutama sekali di pihak lelaki. Pihak lelaki adalah seperti buaya yang sentiasa mencari mangsa, Seperti harimau yang kelaparan, dan seperti kancil yang pintar mencari alasan. Kata-katanya dikarang oleh sang setan. Manis seperti madu, si gadis yang begitu lembut hatinya bagaikan melayang-layang mendengar kata-kata yang manis memujinya denganpujian palsu. Tapi awas, lelaki tetap seperti buaya, singa dan harimau. Sentiasa mencari mangsa. Lepas satu, satu lagi dan lagi.. tak pandai puas sampai mampus.
Ingatlah, itulah sebabnya pelajar belajar di sekolah. Mempelajari sesuatu yang mereka tidak tahu. Mengetahui sesuatu yang mesti mereka tahu. Jangan jadikan diri anda menjadi mangsa. Objektif utama pembelajaran di sekolah adalah untuk mendapatkan kelulusan. Kelulusan yang baik pula akan memudahkan mereka mendapatkan perkerjaan. Perkerjaan yang baik dan terjamin pula akan memudahkah kehidupan masa depan mereka terutama sekali kehidupan selepas kahwin. Bayangkan kalau berkahwin tanpa ada sebarang pendapatan. Di mana hendak mencari duit? Tak kan terus menerus mengharapkan ibubapa yang mekin lama makin tak berdaya? Ingat... seseorang yang tidak ada pendapatan biasanya selalu menjadi mangsa buli. Jadi adakah anda mau dibuli oleh suami atau isteri? fikir-fikirkanlah sendiri

MISUP


MISUP (Minat Sukan Untuk Prestasi) merupakan satu program peningkatan prestasi beberapa mata pelajaran dikaitkan dengan permainan Badminton. Program ini dikhususkan untuk pelajar Asrama sahaja dari tingkatan 1 hingga tingkatan 4. Hanya pelajar yang berminat bermain Badminton sahaja yang boleh menyertai program ini. Peserta dibekalkan semua keperluan untuk bermain badminton. Mereka bebas bermain setiap hari tapi setiap hujung minggu ada jurulatih yang melatih mereka. Kelas tambahan juga akan dibuka kepada peserta-peserta MISUP hanya untuk mata pelajaran BM, BI, Sains dan Matematik. Keputusan peperiksaan akan diambil sebelum program bermula dan selepas tamat. Adalah dijangkakan prestasi peperiksaan para peserta MISUP meningkat selepas program tamat.

Kepemimpinan

Berkerja sebagai seorang guru memang menyeronokkan. Kejayaan pelajar hasil didikan kita adalah satu kepuasan bagi seorang pengajar yang bertanggungjawab. Itu jugalah matalamat seseorang guru yang dedikasi. Untuk menjadi seorang guru yang betul-betul bertanggungjawab, ianya bukannya mudah. Tanggungjawab untuk menjadikan seorang guru itu menjadi guru yang dedikasi terletak kepada penerajunya. Biasanya seorang guru yang bertanggungjawab adalah seseorang yang sangat bermotivasi untuk melaksanakan tanggungjawab. Sebarang kerja yang handak dilakukan adalah untuk mendapatkan hasil dan kepuasan. Guru akan merasa puas sekiranya kerja yang dilakukannya mencapai objektif yang dirancang. Apa akan berlaku sekiranya guru yang bermotivasi itu hilang motivasinya? Sedangkan dia sudah melaksanakan tugasnya dengan penuh jujur tetapi apa yang dilakukannya tidak dihargai. Setelah dia penat berkerja memerah otak dan tenaga, jangan kata dihargai, malahan dimarahi tanpa sebarang sebab yang munasabah. Kesalahan kecil seperti kesalahan yang besar. Individu yang suka memanaskan telinga orang lain sebenarnya tidak bermoral, tidak ada didikan agama, dan tidak sedar diri. Apa bezanya dia dengan orang yang dia anggap rendah? Sedangkan sama-sama dapat gaji dari kerajaan. Sikap seseorang yang meracuni motivasi seorang guru itu akan menyebabkan kerjayanya secara tidak langsung akan menemui kegagalan.

B.O.S.S?? (Bikin Orang Susah Saja)

Hormat menghormati sememangnya satu amalan yang murni. Ianya bagaikan garam, ajinomoto, atau lada dalam makanan. Tanpanya, makanan menjadi tidak sedap dimakan. Dalam menjalankan pekerjaan seharian, sememangnya tidak dapat dielakkan untuk berhubungan atau berinteraksi dengan orang lain. Bukan sahaja untuk bertukar-tukar pendapat tetapi juga untuk melengkapkan jentera dalam sesebuah organisasi. Ini boleh dibayangkan melalui sebuah alat seperti Komputer Peribadi atau PC. Alat ini tidak dapat berfungsi sekiranya keperluan asasnya tidak ada. Keyboard diperlukan untuk memasukkan data. Printer digunakan untuk menghasilkan maklumat yang diperlukan. Begitu juga dalam sebuah organisasi, semua individu berperanan untuk membolehkan organisasi itu berjalan dengan lancar. Memanglah tidak ada yang perfect di dalam dunia ini. Tapi janganlah menggunakan kata-kata itu untuk dijadikan alasan untuk tidak menjadi perfect. Menjadikan alasan itu untuk tidak menunaikan tanggungjawab dengan betul hanya merosakkan diri sendiri. Ia hanya menjadikan anda yang tidak bertanggungjawab itu seperti seorang parasit. Menumpang di satu perumah, mengambil semua yang ada di sana untuk digunakannya, untuk membolehkan dia terus hidup, malahan hidup mewah sedangkan perumahnya mengalami kerugian. Ianya bagaikan kutu diatas kepala, cacing pita di dalam usus, panau di atas kulit, dan kurap. Mahukah anda menjadi kurap? Sejenis parasit yang melekat di atas kulit manusia? Kalau tidak mau menjadi kurap, jalankanlah tugas anda dengan jujur. Jangan memandai-mandai menjadi seperti bos, sedangkan bukan bos.. tapi berada di ranking yang paling bawah. Sebenarnya semakin anda meninggikan diri, semakin rendahlah anda. Penilaian orang terhada kita adalah berdasarkan cara kita melayan orang lain. Semakin teruk kita melayan orang lain, teruk jugalah penilaian orang itu terhadap kita. Lakukanlah kerja yang diamanahkan kepada kita. Kalau anda tidak buat, anda makan gaji buta, atau bolehlah dikategorikan sebagai pencuri.. dosa tu

Kakitangan yang manja


Sebut saja perkataan kena marah, siapa-siapapun tidak suka. Tidak ada sesiapapun di dunia ini yang gembira kena marah. Tak kira peringkat umur, jantina, bangsa dan pangkat, siapa-siapapun tidak suka kena marah. Bila kena marah hati jadi panas, fikiran jadi tegang dan otot-otot mula bergetar.. Rasa-rasanya macam mau ikut marah juga. Kalau boleh mau memukul orang yang memarahkan kita. Kalu boleh, biar dia tau siapa kita yang sebenarnya.Kenapa kita tidak suka kena marah? Kerana anda seorang yang ego. Senang merasa tinggi diri. Tidak suka direndah-rendahkan, atau dalam perkataan yang mudah (pasar); tembirang. Dia tidak suka mengaku kelemahan dan kesalahannya. Apa saja yang dia lakukan semuanya betul sedangkan yang sebenarnya memang salah.Dalam sesebuah organisasi yang berjalan dengan baik, ciri-ciri kepimpinan yang tegas mestilah diamalkan. Pemimpin mestilah menyampaikan maklumat yang sepatutnya diketahui oleh kakitangannya. Dalam menyampaikan maklumat yang berkesan, ketegasan perlu ada. Sekiranya maklumat itu disampaikan dengan penuh kasih sayang, lemah lembut, maklumat yang disampaikan itu biasanya mengalami kecairan. Penerima maklumat sekadar mengangguk-anggukkan kepala sahaja tanda faham, tapi maklumat itu tidak di save dalam memori kepalanya. Hanya sehari sahaja dia mengingatinya, esok hari tak ingat langsung. Jadi tidak hairanlah kenapa kebanyakan para pentadbir garang, suka marah-marah. Bukannya mereka tidak suka kakitangannya tapi cuma untuk menegaskan apa yang sepatutnya dia berikan kepada kakitangannya.