Sunday, December 14, 2008

Peranan Ibubapa dalam pendidikan suku kaum Kimaragang

Ibubapa sangat mempengaruhi tahap pendidikan suku kaum Kimaragang di kawasan Tandek, Kota Marudu. Kemajuan pendidikan dikalangan orang-orang Kimaragang pada masa ini adalah akibat daripada perangai ibubapa mereka pada akhir 60an dan awal 70an. Saya adalah antara anak-anak yang bernasib baik kerana dapat bersekolah pada tahun 70an. Saya dikira bernasib baik kerana dapat bersekolah. Kenapa saya katakan begitu kerana pada masa itu kebanyakan ibubapa tidak suka anak-anak mereka meninggalkan mereka untuk pergi ke sekolah. Mereka lebih suka kalau anak-anak mereka ikut mereka berkerja di sawah padi atau membuka tanah di bukit-bukit. Alasan yang selalu saya dengar ialah mereka tidak ada wang untuk perbelanjaan anak-anak pergi ke sekolah. Untuk pengetahuan, pelajar perempuan adalah yang paling tidak ada peluang untuk pergi ke sekolah. Ibubapa sangat tidak setuju kalau anak perempuan mereka pergi ke sekolah. Mereka beranggapan mereka akan rugi sekiranya mereka menghantar anak-anak perempuan ke sekolah kerana apabila mereka dewasa nanti, mereka akan ikut suami masing-masing.
Jadi tidak hairanlah kenapa tidak ramai pegawai dari suku kaum Kimaragang di mana-mana jabatan atau sekolah. Inilah hasilnya ibubapa yang terlalu kolot. Perkara yang paling saya sedih ialah apabila mereka kata tidak mau berjauhan dengan kita. Mereka takut sekiranya anak-anak mereka dapat melanjutkan pelajaran di tempat yang jauh.
Pada suatu hari ketika saya baru tamat darjah enam, saya berkerja menanam padi di sawah padi bersama emak dan adik-adik yang lain. Saya selalu mendengar ibubapa berkata tidak akan menghantar saya bersekolah di SMK. Saya sangat sedih dan saya berusaha supaya saya diberi peluang. Saya berkata kepada mereka bahawa saya akan mengenang jasa mereka kalau mereka mau memberi saya peluang untuk melanjutkan pelajaran. Saya berkata kepada mereka bahawa suatu hari nanti saya akan membeli beberapa buah kereta! Sebenarnya saya tidak yakin dengan kata2 saya itu, tapi cuma untuk memujuk mereka. Rupanya kata orang tua2, mulut masin. Tanpa disedari saya kini mampu memiliki tiga buah kereta!...

Pendidikan seawal 70an suku kaum Kimaragang

Pendidikan seawal 70an suku kaum Kimaragang
Pendidikan bagi suku kaum Kimaragang telah bermula seawal tahun 60an semasa era penjajahan. Seperti daerah-daerah lain di Sabah, daerah Kota Marudu tidak tercicir dalam mendapat pendidikan. Pendidikan awal suku kaum kimaragang di daerah Kota Marudu terutama sekali kawasan tandek merupakan suatu mimpi ngeri di kalangan pelajar pada masa itu. Guru-guru dikatakan amat garang dan sangat ditakuti. Bayangkan saja rotan tidak pernah berpisah dari tangan guru. Ini menunjukkan bahawa guru itu sentiasa bersedia untuk merotan pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan. Guru-guru sangat tegas dalam menegakkan disiplin di sekolah. Mengikut satu cerita dari seorang bekas pelajar di SK Masolog, dia pernah dirotan di bahagian tangan sehingga gelangnya pecah terkena rotan. Sedangkan gelang yang keras boleh jadi pecah, apalagi kulit pelajar itu yang lembut dan halus, dah tentu luka. Ini bukan cerita dongeng yang sengaja direka-reka. Saya sendiri pernah melaluinya semasa bersekolah di SK Masolog. Pada masa itu pelajar yang tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru akan didenda dengan berdiri. Kalau tak dapat jawab lagi, denda akan ditambah dengan mengarahkan pelajar berdiri di atas kerusi dan seterusnya di atas meja. Kalau pelajar itu masih tidak dapat menjawab soalan, akhirnya pelajar itu akan dirotan dan sasaran utama ialah bahagian punggung pelajar. Sebahagian pelajar yang bodoh meletakkan buku di bahagian punggung mereka untuk mengurangkan rasa sakit apabila dirotan. Ini adalah sebahagian kecil masalah yang dihadapi oleh pelajar di sekolah. Ada banyak masalah lain lagi yang dihadapi oleh pelajar ketika bersekolah dimasa itu. Sebagai contohnya pelajar yang tinggal jauh dari sekolah. Mereka terpaksa meredah kawasan sawah padi yang becak dan berlumpur untuk sampai ke sekolah tepat pada waktunya. Saya sendiri tinggal jauh dari sekolah. Untuk sampai ke sekolah, saya terpaksa melalui sebatang sungai yang tak berjambatan. Untuk melalui sungai itu, saya menggunakan tiga batang buluh yang dipasang oleh bapa saya sebagai titi. Ada juga beberapa kali saya terjatuh kedalam sungai ketika melaluinya. Selepas melalui titi tersebut, saya melalui kawasan sawah padi yang berembun dan berlumpur. Titisan embun yang ada pada daun-daun padi menyebabkan pakaian saya basah. Ditambah pula dengan lumpur dan air, sehingga saya tidak boleh memakai kasut ataupun selipar. Inilah yang saya hadapi selama enam tahun bersekolah di sekolah rendah. Pernah satu ketika saya tidak sempat sarapan pagi. Bila masa balik, saya terasa sangat lapar dan dahaga. Saya tidak larat hendak jalan lagi dan akhirnya kakak sepupu saya mendukung saya balik rumah. Masa itu air sungai dan telaga sedap semuanya. Saya menjadikan itu semua sebagai pendorong untuk berjaya.